Entry: Penyusuan anak satu hak Thursday, February 21, 2013



IBU BAPA mempunyai banyak tanggungjawab terhadap anak mereka. Antara tanggungjawab tersebut ialah menjaga, memelihara dan membesarkan. Kita sering menganggap menjaga anak yang baharu lahir adalah suatu kebiasaan dan datang secara semula jadi.

Dahulu ibu bapa kita menerima kelahiran anak sebagai satu rahmat-Nya. Sering kita melihat majlis kesyukuran dibuat dengan majlis bercukur rambut dan akikah. Yang kurang berkemampuan tetap menghantar sepinggan pulut kuning atau bersedekah makanan ke masjid dan jiran tetangga sebagai tanda kesyukuran.

Orang dahulu menyusukan anak mereka kerana itulah perkara semula jadi dan murah. Penyusuan jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 233. Ahli fiqh bersepakat bahawa penyusuan adalah kewajipan ibu yang dipertanggungjawabkan oleh agama berasaskan ayat di atas. Kewajipan ibu ini tidak mengira, sama ada kaya atau miskin.

Dari sudut sains perubatan, susu ibu memberi perlindungan daripada penyakit kerana ia mengandungi antibodi yang tinggi selain kalsium dan sebagainya. Manakala dari sudut psikologi, penyusuan menjalin hubungan istimewa antara ibu dan anak. Keakraban ini sangat penting dalam hubungan ibu dan anak kerana anak akan mengasihi ibunya dan tidak derhaka lagi mendengar kata.

Persoalan yang sering ditimbulkan, wajibkah menyusukan anaknya selama dua tahun? Bolehkah mahkamah memerintahkannya? Oleh kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah tanggungjawab bapa, maka bapa berkewajipan membayar upah penyusuan itu. Ini berasaskan surah di atas. Begitu juga dalam surah al-Talaq ayat 6. Jika ibu telah diceraikan maka ibu berhak kepada upah jika beliau diceraikan talaq bain berasakan surah al-Baqarah ayat 233.

Ulama Maliki berpendapat ibu boleh diperintahkan oleh mahkamah supaya menyusukan anak kecilnya. Mazhab Shafie mewajibkan ibu menyusukan anaknya dengan susu pertama sebaik kelahiran dan anak tidak akan hidup tanpanya dan orang lain tidak akan dapat menggantikannya.

Ulama juga berpandangan bahawa jika ibu masih hidup bersama suaminya sebagai suami isteri atau dalam iddah talaq raj'i, suaminya tidak perlu membayar upah kepada ibu tersebut untuk penyusuan.

Sekiranya ibu telah diceraikan dengan talaq bain (talaq tidak boleh rujuk seperti talaq tiga), maka suaminya iaitu bapa anak, wajib membayar upah kerana menyusukan anak. Bagi ibu yang telah tamat iddah dan masih menyusukan anak, maka wajib bagi bapa iaitu bekas suaminya membayar upah penyusuan tersebut. Tempoh penyusuan ialah genap dua tahun.

Oleh itu, selaras dengan konsep dan hukum penyusuan, enakmen keluarga Islam yang wujud di negeri-negeri di Malaysia memastikan bahawa hak pemeliharaan anak yang masih kecil sehingga berumur dua tahun ialah hak ibu. Peruntukan ini seolah-olah memutlakkan hak ibu terhadap anak yang masih kecil dan alasan sebenarnya kerana ini adalah tempoh penyusuan bagi anak.

Dalam keadaan ibu telah diceraikan dan telah habis iddah sekalipun, ibu tetap diberi keutamaan menyusukan anaknya demi menjaga kepentingan dan kebajikan anak. Ini diperuntukan dalam seksyen 83 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor 2003 yang berbunyi, "Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan."

Maknanya, jika pasangan bercerai semasa anak masih bayi (bawah dua tahun) mahkamah akan menyerahkan pemeliharaan anak tersebut kepada ibunya dan bapa wajib membayar upah penyusuan kepada bekas isteri.

Mana-mana pasangan mempunyai anak yang masih menyusu, mereka tidak boleh menggunakan anak tersebut untuk tujuan membalas dendam. Misalnya, seorang lelaki yang kerana terlalu marah atau benci kepada bekas isterinya tidak memberinya nafkah sebaik tamat tempoh iddahnya.

Malah bekas isteri juga tidak boleh menyusahkan bekas suaminya kerana sakit hati terhadapnya dengan mengenakan upah yang tinggi bagi penyusuan yang di luar kemampuan bekas suaminya. Dia juga tidak boleh menafikan hak bekas suami untuk memelihara anak secara bersama atau hak anak untuk mendapat kasih sayang daripada bapanya. Semua ini menunjukkan bahawa Islam memberi keutamaan kepada anak.

Dalam hal penyusuan, jika ibu tidak mempunyai susu secukupnya atau anak tidak mahu menyusu dengannya, maka demi menjaga kepentingan anak yang baharu lahir, maka bapa mesti mencari susu alternatif untuk anak. Nabi Muhammad SAW sendiri disusukan oleh ibu susuan. Namun hari ini dengan wujudnya banyak susu formula iaitu susu lembu yang telah diproses, maka peranan ibu susuan menjadi tidak penting. Malah ramai di antara kita tidak tahu pun mengenai ibu susuan daripada segi hukum dan kepentingannya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130220/ke_03/Penyusuan-anak-satu-hak#ixzz2LUkGvAvo 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments