Entry: TMR&D cipta sistem KenalMuka Friday, February 09, 2007



Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Kumpulan penyelidik TM KenalMuka diketuai oleh Nazaruddin Omar bersama-sama produk ciptaan mereka.

Pada masa ini, banyak organisasi mensyaratkan pekerjanya menggunakan kad akses, cap jari, tandatangan atau identiti mata sebagai tujuan keselamatan dan akses ke dalam sesebuah bangunan.

Penggunaan kad akses sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah penipuan. Sistem-sistem biometrik lain seperti sistem pengecaman tandatangan memerlukan kestabilan tandatangan pengguna dan sistem pengimbas cap jari bergantung kepada kecanggihan teknologi pengimbas itu sendiri.

Manakala pengimbasan anak mata (iris) pula dikhuatiri boleh mengundang masalah kesihatan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, beberapa negara Barat telah memperkenalkan sistem biometrik berasaskan pengecaman muka seseorang.

Bagaimanapun sistem berkenaan hanya sesuai digunakan di kalangan penduduk negara Barat yang mempunyai ciri-ciri muka berbeza berbanding rakyat Asia.

Justeru bagi mengatasi perkara tersebut, TM Research & Development (TMR&D), anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan sistem yang dikenali sebagai KenalMuka.

Nazaruddin Omar selaku ketua projek KenalMuka berkata, mewujudkan pangkalan data berasaskan biometrik muka bagi kegunaan kebangsaan dan antarabangsa merupakan satu azam TMR&D untuk menyumbang kearah pembangunan sains dan teknologi maklumat selaras dengan inspirasi rakyat malaysia.

Tambah beliau, sistem KenalMuka ini dibangunkan dengan ciri-ciri yang mudah digunakan. Antara lain, KenalMuka boleh digunakan sebagai Sistem Pemantauan Keselamatan (Surveillance System) untuk kegunaan penguatkuasaan oleh pelbagai pihak seperti polis, imigresen dan sebagainya.

Selain itu, sistem KenalMuka ini juga boleh diaplikasikan sebagai Sistem Identifikasi (Identification System) bagi melengkapkan sistem-sistem biometrik yang lain seperti sistem pengenalan tandatangan, cap jari atau anak mata.

"KenalMuka boleh juga digunakan sebagai satu aplikasi tambah nilai untuk perisian-perisian automasi pejabat yang banyak digunakan oleh syarikat-syarikat perniagaan.

"Malahan ia boleh dijadikan satu ciri dalam aplikasi rumah pintar (intelligent home)," katanya yang memulakan projek berkenaan sejak April 2005.

Selain Nazaruddin, projek KenalMuka turut dianggotai oleh Ir. Mat Kamil Awang selaku Penyelidik Utama serta Ketua Program Keselamatan, Applikasi Pintar & Multimedia dan disertai oleh lima orang lagi pegawai penyelidik iaitu Shahrin Azuan Nazeer, Mohamad Zaharudin Ahmad Darus, Jamikaliza Abdul Karim, Mohd Noor Shafarizan Mohd Yusoff dan Syed Al-Firdaus Jamalulail Syed Ahmad.

Kos bagi penggunaan sistem berkenaan adalah di antara RM10,000 ke RM100,000 bergantung kepada aplikasi yang diperlukan.

Nazaruddin berkata, KenalMuka mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem yang ada di luar negara terutama di negara Barat.

"KenalMuka yang dibangunkan ini sesuai bagi struktur muka penduduk Asia dan mengambil kira ciri-ciri muka Barat.

"Ianya lebih mantap menangani kelemahan sistem ciptaan Barat yang kurang berkesan dalam situasi seperti pemakaian tudung kepala," katanya.

Ini tindakan yang wajar memandangkan faktor agama dan adat juga perlu dipelihara dalam memastikan kejayaan perlaksanaan sesuatu sistem.

Biasanya face recognition system dari Barat sukar atau tidak boleh mengenalpasti wajah lelaki Arab yang penuh jambang atau wanita yang berhias dan bertudung. Tetapi KenalMuka hasil ciptaan TMR&D ini telah dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Ini disebabkan KenalMuka dibangunkan berdasarkan standard yang digunapakai oleh industri antarabangsa dan TMR&D merupakan salah satu agensi yang aktif di dalam penyediaan piawai (standard) biometrik melalui penglibatan Ir. Mat Kamil sebagai salah seorang ahli Kumpulan Kerja Teknikal (di bawah naungan SIRIM Berhad).

Nazaruddin menyatakan harapan beliau agar KenalMuka dapat diperluaskan penggunaannya di peringkat kebangsaan.

Pemilihan perkataan KenalMuka juga katanya mencerminkan semangat 'Malaysia Boleh' serta kemampuan Malaysia menghasilkan produk dalam bidang ICT.

KenalMuka telah berjaya memenangi lima anugerah berprestij bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

Sewaktu Pameran Teknologi, Rekabentuk Industri, Inovasi dan Rekacipta Antarabangsa Antarabangsa (ITEX 2006), KenalMuka berjaya memenangi Pingat Emas dalam Kategori Komunikasi, Produk Paling Inovatif dan Genius Prize Budapest yang dianugerahkan oleh Persatuan Inventor Hungary.

Semasa menyertai Pameran Rekacipta Antarabangsa 2006 di Budapest, Hungary, KenalMuka ciptaan TMR&D memenangi anugerah Grand Genius Award serta Diploma yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Romania.

INFO
KenalMuka boleh diintegrasi dengan sistem-sistem lain seperti Sistem Kawalan Akses, Sistem Masa Kedatangan, Sistem Kawalan Sempadan, Sistem Pendaftaran Automatik dan Sistem Pengenalan Automatik.

KenalMuka juga boleh dipertingkatkan keupayaannya apabila digabungkan dengan sistem Kedatangan Internet atau sistem Persidangan Video Berkapasiti Sulit.

Antara kelebihan lain teknologi KenalMuka adalah ia tidak memerlukan sentuhan fizikal, kadar pengesahan ketepatan dan pendaftaran yang tinggi, boleh menggunakan infrastruktur sedia ada serta menjimatkan kos secara lebih efektif.

Selain itu, ia mudah serta cepat dipasang, berteknologi unggul, mudah dan cepat diintegrasi, mempunyai kredibiliti dan boleh dilaksanakan pada masa sebenar.

sumber Utusan Malaysia Online

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments